25 April 2012

Utusan rindu buatmu bakal zaujahku,..

 
Assalamualaikum w.b.t
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Duhai Cintaku di sana. 
Dengarkan lah...
Selagi tiada ikatan yang sah di antara kita, selagi itu ada jarak di antara kau dan aku.
(♥-♥)-----------------------------<"==">-----------------------(~♥-♥~)
Puteri Agamaku,
Akan ku kenangmu dalam doaku walaupun dirimu jauh daripada pandangan mataku. Bahkan tidak ku kenali sama sekali. Ku harap, dirimu juga mengenangku dalam doa kudusmu.


Bila nada-nada RINDU mula bermain di hatiku, aku SABAR menanti.
Bila alunan-alunan CINTA berkeliaran di sudut hatiku, aku memohon kepada Ilahi agar diperkuatkan Imanku agar tidak goyah.
Bila bait-bait KESEDIHAN mula bercambah, diriku beristighfar pantas dan mohon ditambahkan KESABARAN.
Wahai calon Zaujahku,
Dimana jua engkau berada, yakinlah Allah SWT akan sentiasa melindungiku disini. 
Usahlah engkau kuatir akan bakal Zaujmu ini. 
Sesungguhnya Allah SWT sentiasa melindungi dan menjaga kita.
Wahai Calon Zaujahku, 
Dengarlah doaku ini...
"Ya Allah, Tuhan yang Maha Berkuasa lagi Maha Adil. Ku tahu dia selamat di sana. Dia selamat di bawah lindungan kasih dan redha-Mu. Ku lepaskan dia di bawah jagaan-Mu Ya Allah. Jagalah hatiku dan hatinya. Satukan hati kami apabila masanya telah tiba. Semoga kami dapat membina sebuah keluarga yang mawaddah, sakinah dan warahmah. Semoga mahligai cinta yang kami bina di bawah payung redha-Mu akan berkekalan di dunia dan di akhirat. Semoga ikatan suci kami terikat utuh dengan ikatan kasih-Mu. Ku hulurkan sepotong doa buatnya di dalam bait-bait rinduku. Rabb, ampuni diriku andai diriku khilaf. Ampunilah jua dirinya. Amin Ya Allah"

22 April 2012

Cerita 1001 Malam, "Yakinlah Dengan Allah"



Pada zaman dahulu, di sebuah kampung di tanah Arab, hiduplah sebuah keluarga di dalam keadaan yang sangat sederhana. Setiap hari, sebelum keluar ke pasar untuk berniaga, sang ibu akan memasak roti dan kemudiannya meninggalkan roti itu di atas meja untuk anaknya makan.

Selalunya sang ibu akan memastikan yang anaknya masih lagi tidur agar anaknya itu tidak tahu bahawa dialah yang telah menguli tepung dan juga memasak roti itu.

Apabila ditanya oleh sang anak, "Dari mana roti ini datang, wahai ibu?"

Sang ibu menjawab,"Roti ini datang daripada Allah."

Begitulah jawapan sang ibu kepada sang anak setiapkali ditanyakan hal yang sama. Bahkan dia sebenarnya memang sengaja mengajar anaknya begitu supaya anaknya akan menjadi orang yang kuat kepercayaan serta keyakinannya terhadap Allah. Tambahan pula, setiap hari anaknya itu akan ditinggalkan seorang diri di rumah kerana dia dan suaminya perlu keluar bekerja.

Sampailah kepada suatu hari. Setelah kedua-dua sang ibu dan sang bapa siap berniaga, barulah sang ibu teringat bahawa pagi itu dia telah lupa hendak memasak roti untuk anaknya! Maka kelam-kabutlah kedua-duanya segera pulang ke rumah.

Sebaik sahaja mereka tiba di rumah, sang ibu sangat terkejut apabila melihat sang anak sedang memakan roti.

Sang ibu bertanya, "Dari mana kau dapat roti ini, nak?"

Sang anak menjawab, "Bukankah ibu mengajarkan saya, bahawa roti ini datang daripada Allah?"

Sang ibu terus menangis kerana menyedari yang anaknya memang benar-benar telah percaya dan yakin kepada Allah, melebihi dari dirinya sendiri. Bersyukurlah sang ibu kepada Allah kerana Dia benar-benar telah menghantar rezeki dari langit buat anaknya.

Rasanya bagi yang suka membaca kisah-kisah 1001 malam, pasti pernah terbaca kisah seperti ini kan? Mungkin versinya sedikit berbeza daripada yang asal, namun isu utamanya masih saya cuba kekalkan. Soal menjadi hamba kendiri yang yakin dan percaya kepada Tuhan.

"Kalau sakit, pandai-pandailah cari panadol sendiri."

Saya ingat waktu itu saya sedang demam panas. Bonda cuti sehari untuk melihat-lihat saya di rumah yang sudah terbaring seperti mayat. Hari kedua kata bonda, saya perlu cari ubat sendiri. Bonda perlu bekerja, dan tidak boleh bercuti lama-lama di rumah. Bertambah demam rasanya saya mendengar kata-kata bonda.

Soal mahu bermanja-manja, memang tidak pernah wujud di dalam kamus kehidupan saya. Apa sahaja yang boleh dilakukan sendiri, lakukanlah sendiri. Usah bergantung kepada orang lain. Kalau tahu sudah jatuh, cepat-cepat bangun sendiri. Sebab orang lain semuanya masing-masing sedang sibuk berlari!

Bunyinya seperti keras. Bahkan sebenarnya ada juga membuat hati saya rasa seperti mahu menangis. Namun itulah ajaran komando dari bonda yang saya rasa paling berharga sekali di sepanjang kehidupan saya yang amat pendek ini. Sebab itulah apabila saya sudah besar panjangpun ada yang selalu salah sangka bahawa saya ini anak sulung, walhal saya adalah yang sebaliknya.

Semoga Allah membalas bonda dengan sebuah syurga yang amat manis lagi tinggi. Amin.

"Sebelum hendak minta tolong dari orang lain, minta tolonglah dahulu dari Allah."


Waktu itu saya sedang cuba hendak 'berbaik-baik' dengan seorang ibu. Terkadang ada juga waktunya terasa seperti ingin bermanja-manja. Namun apa yang saya tidak tahu adalah ibu itu juga sama komandonya seperti bonda!

Pertama kali menghubunginya untuk mohon bimbingan, saya mendapat respon yang sangat baik, ibu itu sudi untuk membimbing saya. Maka setelah itu saya pun terus 'masuk jarum' tanpa bertangguh. Menceritakan masalah begitu begini dan mohon pandangan darinya.

Selepas itu saya tidak mendapat balasan apa-apa, sampailah ke hari ini.

Namun mesej yang sebenarnya dapat saya 'tangkap' daripada kuliah-kuliah yang ibu itu selalu sampaikan, "Sebelum kita hendak minta tolong dari orang lain, dari ibu, atau dari kawan, minta tolong dari Allah dahulu. Kalau Allah beri ilham supaya hubungi sesiapa, barulah kita minta tolongdari orang itu, sebab mungkin Allah hendak memberi pertolongan melalui hambaNya. Kalau tidak, tidak perlu minta tolong dari manusia. Minta tolong saja dari Allah."

Dan itu buat saya sedar, bahawa masalah yang saya adukan itu, yang konon-konon nampak lebih besar dari dunia, sebenarnya tidak bererti apa-apa di sisi Allah. Kerna penyelesaiannya, amat mudah sekali bagi Dia. Namun ia jadi payah dan nampak besar kerana selama ini saya hanya menilainya dari kaca mata seorang manusia yang amat lemah.

Semoga Allah membalas ibu itu berserta seluruh ahli keluarganya dengan sebuah syurga. Amin.

"Janganlah bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita."

Hal ini juga turut menyeret saya untuk menyelusuri kembali sebuah peristiwa sirah. Sebuah peristiwa besar yang kalau tidak ada tercatat di dalam lembaran sejarah, maka tidak mungkin kita semua sekarang ini akan mengenal nikmat Islam dan iman. Saat pertama yang dimulakan dengan penuh kegalauan dan 1001 kerisauan.

"Aku risau ya Rasulullah. Bagaimana kalau mereka berjaya menemukan kita? Kalau aku mati, aku tidak kisah kerana aku tidak bernilai apa-apa. Tapi kalau kau mati ya Rasulullah, maka matilah juga dakwahmu!"

Itulah sebuah kerisauan yang diukur daripada kaca mata seorang hamba Allah yang lemah, saat dia hanyalah berdua dengan kekasih Allah sewaktu bersembunyi di dalam gua Tsuur sebelum berhijrah ke Madinah.

"Bagaimana pandanganmu wahai Abu Bakar, kalau kita berdua, yang ketiganya adalah Allah?"

Itulah sebuah jawapan dari dia yang tidak tahu bagaimana, atau dalam bentuk apa, namun hatinya telah bulat percaya dan yakin bahawa Allah akan membantu. Dan kalaulah Rasulullah SAW tidak yakin dengan janji Allah pada waktu itu, mana mungkin saya akan dapat menulis sebegini pada hari ini.

Mana mungkin.

Terima kasih ya Rasulullah. Semoga tuan sedang berbahagia di syurga bersama dengan yang lain.

"Jngan risau, awak ada Allah!"

Di saat hati sedang diamuk galau dan resah, kata-kata seorang teman itu biasanya hanya akan menjadi sebuah tulisan di atas pasir yang tersapukan ombak. Di dalam kehidupan ini, memang ada ketikanya, kita akan merasa lemah. Merasa sendiri, apalagi bagi yang seluruh kehidupannya tiada siapa-siapa untuk dia adu dombakan segala apa yang telah dia simpan di dalam dadanya selama ini.

Terkadang kita merasa seperti inginkan sesuatu yang kita boleh nampak. Terasa seperti alangkah indahnya jika ada bahu untuk dibuat sapu air mata. Alangkah indahnya kalau ada tangan yang membelai saat kita sedang sakit tenat. Dan alangkah indahnya pula kalau ada suara yang bisa membuatkan hati kita merasa lebih tenang.

Namun adakalanya, Allah memang sengaja mahu mengajar kita berdikari. Saat kita inginkan bahu, saat kita inginkan tangan, dan saat kita inginkan suara, Dia langsung tidak memberi kita apa-apa. Kerana Dia hanya mahu kita faham suatu perkara, bahawa bahu yang sedang kita cari itu, tangan yang sedang kita tunggu itu, dan suara yang sedang kita rindu itu, sebenarnya sudah tersedia ada.


Ia tidak perlu dicari kerana ia tidak pernah hilang, dan kita tidak perlu berlaripun mengejarnya kerana ia sebenarnya dekat.

"Dan Apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka katakanlah sesungguhnya Aku dekat. Aku mengabulkan doa orang yang memohon apabila ia memohon kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu, dan beriman kepadaKu agar mereka mendapat petunjuk (bimbingan)."
Al-Baqarah: 186
Bahu itu sentiasa ada untuk kita. Tangan itu sentiasa ada untuk kita. Suara itu sentiasa ada untuk kita. Untuk saya, dan untuk kamu. Dan sebenarnya tulisan ini, bukanlah saya tulis untuk menganjing sesiapa, tetapi saya tulis untuk mengingatkan diri saya semula.

Rezeki dari langit itu pasti ada.  Senyum. ;)