14 Oktober 2011

Tazkiyyatun Nafsi,..

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum wbt dan selawat serta salam kepada nabi junjungan kita iaitu nabi Muhammad saw serta para sahabat dan kaum keluarganya.

Alhamdulillah kepada Allah swt kerana masih lagi memberi kita nikmat iman dan islam hingga saat ini. Kalau kita teliti setiap satu nikmat Allah swt kepada kita, pasti kita tidak dapat mengiranya.Nikmat udara, nikmat kesihatan, nikmat kesenangan, nikmat dipermudahkan segala urusan dan kalau kita sebagai pelajar nikmat yang paling penting adalah nikmat dalam menuntut ilmu. Allah swt telah bagi kita kemudahan serta kefahaman yang tinggi dalam kita menuntut ilmu.Cumanya pada kita sahaja bagaimana diri kita sendiri membuat pilihan dalam mensyukuri segala nikmat tersebut. Dalam al-quran, Allah telah berfirman yang bermaksud:
“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah kamu dapat menghitungkannya. Sesungguhnya manusia itu sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat)”. (Ibrahim:34)

Adakah kita mensyukuri nikmat tersebut atau mengingkarinya? Sama-samalah kita bertanya pada diri sendiri.

Untuk kali ini, InsyaAllah, saya akan berkongsi sedikit ilmu mengenai tazkiyatun nafs.

Saya rasa semua dah tahu maksud tazkiyatun nafs. Tazkiyatun nafs bermaksud penyucian jiwa. Bila kita sebut jiwa, mesti kita terfikirkan hati. Tapi komponen utama dalam penyucian jiwa ini ialah jasad dan hati.

Hati bukan jiwa. Hati dan jiwa berlainan. Hati adalah komponennya.Jiwa ialah ruh yang terdapat di dalam hati.

Boleh faham?

Jiwa ini mesti hidup. Kalau hidup, akan memudahkan kita untuk melakukan perintah Allah swt. Jika jiwa kita mati, maka susahlah bagi kita untuk tetap terus istiqamah dalam melaksanakan ibadah kepada Allah swt.

Setiap manusia mempunyai hati dan dalam al-quran ada disebutkan kepentingan penyucian jiwa ini.

Dalam surah asy-syam: ayat 7-10

Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); (Asy-Syams 91:7)

Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa; – (Asy-Syams 91:8)

Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), (Asy-Syams 91:9)

Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). (Asy-Syams 91:10)

Dalam surah An-Naziat: ayat 17-19

(Lalu diperintahkan kepadanya): “Pergilah kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas (dalam kekufuran dan kezalimannya); (An-Naazi’aat 79:17)

“Serta katakanlah kepadanya: `Adakah engkau suka hendak mensucikan dirimu (dari kekufuran)? (An-Naazi’aat 79:18)

`Dan mahukah, aku tunjuk kepadamu jalan mengenal Tuhanmu, supaya engkau merasa takut (melanggar perintahNya)? ‘ (An-Naazi’aat 79:19)

Ayat-ayat lain berkenaan penyucian jiwa ada dalam surah ‘Abasa: 1-11 dan Ali-Imran: 164
Boleh tengok sendiri dalam tafsir yer.

Jenis-jenis jiwa manusia iaitu:

Pertama: nafsu ammarah bissu’

Nafsu ini sangat berbahaya apabila melekat pada diri seseorang manusia sebab ia suka mengarahkan manusia kepada perbuatan dan perilaku yang dilarang agama.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : “Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
(Surah Yusof ayat 53)

Nafsu yang paling jahat dan paling zalim. Jika berbuat kejahatan, dia berbangga dengan kejahatannya. Kalau terpaksa susah kerana kejahatannya, dia sanggup. Jika ada orang mengingatkannya tentang kejahatannya, dia akan menjawab, “Siapa yang cuba nak menghalang tindakan ku akan menanggung akibatnya!” Bayangkanlah, kalau orang macam ini jadi pemimpin dan berkuasa.

Nafsu amarah tidak dapat dikawal dengan sempurna oleh hati. Sekiranya hati tidak dapat meminta bantuan ilmu, hikmah kebijaksanaan dan akal, hati akan binasa. Justeru itu, seseorang itu mudah terjerumus ke arah perbuatan yang melanggar syariat, tidak beradab, tidak berperi kemanusiaan, bertindak mengikut sesuka hati, zalim serta pelbagai keburukan dan bencana kepada diri serta persekitaran.

Susah nak tegur orang yang yang sebegini kerana tidak peka dengan kesilapan atau kesalahan yang dilakukan. Keras kepala! Nafsu ammarah menduduki tahap paling rendah dalam kehidupan manusia, malah sebenarnya lebih rendah daripada binatang. Ini kerana binatang tidak mempunyai akal, sedangkan manusia mempunyai akal. Minta Allah jauhkan kita dari nafsu amarah.

Kedua: nafsu lawwamah

Nafsu ini adalah nafsu yang sudah mengenal baik dan buruk. Nafsu tercela kerana kelalaian tuannya melaksanakan peraturan-peraturan Allah.

Nafsu ini mengarahkan pemiliknya untuk menentang kejahatan, tetapi suatu saat jika ia lalai beribadah kepada Allah S.W.T, maka ia akan terjerumus kepada dosa. Orang yang memiliki nafsu ini tidak tetap pendirian untuk menjalankan ketaatan dan meninggalkan perbuatan dosa.

Orang yang memiliki nafsu lawwamah sebegini memiliki jiwa menyesali perbuatan salah lakunya dan berinisiatif untuk kembali ke landasan yang benar.

Contohnya semalam melakukan dosa dan perkara maksiat yang dilarang di sisi agama . Hari ini dia sedar akan kesilapannya kerana terlalu mengikut nafsu, lalu ia insaf dan bertekad untuk tidak mengulanginya lagi. Orang yang banyak dikuasai nafsu lawwamah juga mudah membaiki diri dan mudah terima teguran org lain.

Ia juga tidak mudah hanyut dalam kesesatan yang membinasakan diri baik dalam kehidupan dunia mahupun akhirat. Selain dari itu, nafsu lawwamah juga sering memikirkan baik buruk, halal haram, betul salah, berdosa ataupun tidak dalam segala tindakan. Jelas nafsu Lawwamah ini lebih baik dari nafsu amarah bissu’.

Ketiga: nafsu muthmainnah

Nafsu ini adalah nafsu yang membuat pemiliknya tenang dalam ketaatan. Nafsu ini telah mendapat rahmat Allah S.W.T. dan manusia yang mendapatkan nafsu ini akan mendapat reda Allah S.W.T. di dunia dan akhirat. Orang ini akan mendapat “husnul Khatimah” di akhir hidupnya sebagai pintu menuju syurga Allah S.W.T.

Firman Allah S.W.T.: “Hai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredai-Nya. Maka masuklah ke dalam jemaah hamba-hamba-Ku, dan masuklah ke dalam surga-Ku.” (Surah al-Fajr ayat 27-30)

Orang yang memiliki nafsu mutmainnah dapat mengawal nafsu syahwat dengan baik dan sentiasa cenderung melakukan kebaikan. Juga mereka mudah bersyukur dan qanaah di mana segala kesenangan hidup tidak membuat dia lupa diri, menerima anugerah Ilahi seadanya dan kesusahan yang dialami pula tidak menjadikan dirinya gelisah. Ini disebabkan hatinya ada ikatan yang kuat kepada Allah. Mereka juga mudah redha dengan ketetapan dan ujian Allah.

Imam Al-Ghazali meletakkan nafsu ini di tahap yang tertinggi dalam kehidupan manusia. Semoga Allah S.W.T. golongkan kita dalam nafsu yang hebat ini.

Sebagai manusia, kita mungkin berada dalam ketiga-tiga jenis nafsu ini pada satu-satu masa. Kita kena kenal jenis jiwa ini dan jiwa yang kita ada. Moga dapatlah kita membendung nafsu kita dan mendidik nafsu kita kepada nafsu yang tertinggi iaitu nafsu muthmainnah.

Untuk perkongsian seterusnya akan menyusul .InsyaAllah.

Wallahu’alam