16 Ogos 2011

15 Ramadhan : Menghayati Nuzul al-Quran

Assalammualaikum warahmatullah wabarakatuh...

Berlalunya 14 hari dari bulan Ramadhan, bermakna bulan berkat ini sudah menghampiri pertengahannya. Bulan Ramadhan sudah sampai pertengahannya.Separuh peluang untuk mendapat habuan pahala sudah berlalu,semakin hari semakin meningkatnyahari, masa,jam,saat,sedangkan matahari dan bulan tetap dengan peredarannya.


“Bulan Ramadhan yang diturunkan padanya Al-Quran”,Duhai orang yang berdiri dalam kebingungan..Adakah pada dirimu keazaman untuk berubah?Sampai bilakah kamu rela menetap di kedudukan hina? (At-Tabshirah oleh Ibnul Jauzi 2/96)



Pada 14, 15 & 16hb Ramadhan merupakan hari-hari pertengahan bulan Ramadhan yang dikenali juga sebagai hari Bercahaya atau Ayyamul Bayd. Manakala sejarah Islam telah mencatatkan peristiwa perang Badar (BADR KUBRA) yang berlaku pada tahun ke 2 Hijrah. Perang Badar merupakan perang pertama yang dilalui oleh umat Islam di Madinah. Ia merupakan isyarat betapa mulianya umat Islam yang berpegang teguh pada tali agama Allah. Kemenangan besar kaum muslimin tidak terletak pada jumlah tentara yang ikut serta tetapi terkandung dalam kekuatan iman yang tertanam disanubari mereka.



Tanggal 17 Ramadhan merupakan satu tarikh yang selalu diperingati oleh umat Islam. Pada tarikh inilah masjid-masjid dipenuhi dengan ceramah dan media massa terutamanya televisyen tidak akan terlepas menyiarkan rancangan atau kuliah sempena memperingati Nuzul (penurunan) Al-Qur’an. Pelbagai program tak putus diadakan sempena menyambut tarikh penurunan Al-Qur’an ini. Kebanyakan individu pula, pada bulan inilah mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk menghabiskan bacaan 30 juzuk Al-Qur’an sebagai satu kelaziman.



Setiap Muslim sepatutnya memperingati tarikh penurunan Al-Qur’an. Al-Qur’an merupakan sebuah kitab yang diturunkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam untuk disampaikan kepada umat manusia.



Sesungguhnya dengan turunnya al-Quran pada bulan Ramadan sejak lebih 1,400 tahun lalu, telah menyelamatkan manusia daripada melakukan tabiat serta tingkah laku yang tidak selari dengan fitrah mereka sendiri.



Firman Allah s.w.t.

إنا أنزلناه في ليلة مباركة

Maksudnya: Sesungguhnya Kami turunkannya (al-Quran) pada malam yang diberkati. (surah al-Dukhan: 3)

Firman Allah s.w.t. lagi

إنا أنزلناه في ليلة القدر

Maksudnya: Sesungguhnya Kami turunkannya (al-Quran) pada malam al-Qadr. (surah al-Qadr: 1)

Firman Allah s.w.t lagi

شهر رمضان الذي أنزل فيه القرآن هدى للناس وبينات من الهدى والفرقان

Maksudnya: Bulan ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan batil) (surah al-Baqarah: 185)

Ayat 15-16 surah al-Maidah : “Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya (Nabi Muhammad) dari Allah dan kitab yang menerangkan (al-Quran). Dengan kitab itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keredaan-Nya ke jalan keselamatan, (dan dengan kitab itu pula) Allah mengeluarkan orang-orang itu dari kegelapan kepada cahaya yang terang benderang dengan izin-Nya dan menunjuki mereka ke jalan yang lurus.”

Dalam ayat 9 surah al-Hadid : “Dialah (Allah) yang menurunkan kepada hamba-Nya (Muhammad) ayat-ayat yang terang (al-Quran) supaya Dia mengeluarkan kamu dari kegelapan kepada cahaya (Islam).”

Jelas dari keterangan kedua-dua ayat di atas menunjukkan bahawa fungsi sebenar penurunan al-Quran ke atas manusia, tidak lain adalah untuk menyelamatkan mereka dari terus berada dalam kegelapan dunia yang terpaksa meraba-raba serta tanpa hala tuju hidup yang jelas dan sempurna kepada cahaya Islam, tidak cukup dengan itu, Allah SWT melalui kitabNya itu bertujuan untuk memimpin mereka ke jalan yang benar dengan memberikan kepada mereka petunjuk kebenaran agar mereka ditempatkan ke dalam syurga di akhirat kelak.

Oleh itu dengan membaca al-Quran moga kita mendapat ganjaran pahala dan syafaat daripada Allah SWT. Dengan ini marilah kita sama-sama menghayati nuzul al-Quran ini sebagai satu peristiwa besar yang penuh makna dan hikmah.

Tiada ulasan: