11 Januari 2011

SURAT CINTA BUAT SEORANG HAWA….

Cemburu kulihat Sang Pungguk memadu rindu dengan Sang Bulan.
Cemburu kulihat Sang Helang terbang berdua-duaan.
Cemburu jua aku pada Si Belangkas yang hidup berkasih sayang.
Tapi aku, terus kepiluan. Hawa yang diciptakan untukku bukan lagi Hawa yang dulu….

Hawa…
Diciptakan indah, bukan daripada kepala untuk disanjung dan dipuja, bukan daripada kaki untuk dipijak dan dijadikan hamba sahaya, tapi daripada rusukku untuk dilindungi, dekat pula dengan hati untuk disayangi dan dicintai.

Hawa…
Dulu, ku perlukanmu sebagai teman berbudi. Menemani tugas beratku sebagai khalifah di bumi. Kaulah cerminku yang sentiasa memuhasabah diri. Tapi kini, keindahanmu yang sering kupuja, kau salah erti… Kau tampil menghiburkan dunia dengan susuk tubuh yang menggiurkan.

Kaumku kekaburan. Matanya bertelanjang. Hatinya lemas ditelan keasyikan. Ah, memang kaumku suka mengambil kesempatan! Tapi, kenapa kau jual dirimu bak barang pameran? Di mana hilang malumu yang menjadi hias pakaianmu?

Tidakkah kau tahu, tubuh montokmu jadi hidangan enak buat mata, tetapi racun pada jiwa. Aku bisa terhumban ke neraka kerananya. Kau gunakan keistimewaan untuk menggoda. Air matamu untuk menipu daya dan panahan matamu melemahkan iman.

Oh, Hawa…
Aku rindukan Hawa yang dulu…Malu, terjaga & terpelihara….

Hawa…
Kutahu kau ibarat rusuk nan rapuh dan bengkok, perlu hati-hati untuk luruskan. Lantaran itu, ku datang bukan untuk menunjuk cengkaman kuku tajam di kaki…bukan juga mengugut dengan paruh berbisa….tetapi supaya direnung bersama. Bahawa antara kita perlu sentiasa perbaiki diri.

Dengarlah bisikan kasihku,

Sesungguhnya aku rindukan Hawa yang dulu –
sesuci Maryam, seteguh Asiah, setulus Khadijah, dan setabah Fatimah….

Hawa…

Namamu indah, biarpun di mana, di segenap jiwa,

Kaulah ibu, terukir kasih di paparan dada,

Kaulah kekasih, dirindui saban ketika,

Kaulah puteri, pengubat duka, penyejuk mata,

Kaulah adik, pemberi semangat paling berguna,

Kaulah mukminah, terukir indah di setiap dada

-Adam


Tiada ulasan: