21 Ogos 2010

Dia mati dalam Jamaah....

MALAM ini, ya sudah masuk sepuluh hari, Ramadan melangkaui jajahan. Jika ada yang belum perasan, sesungguhnya sudah suku bulan Ramadan meninggalkan rahmatnya. Tiada yang aneh sepanjang sepuluh hari ini kecuali cerita tentang kematian sebentar tadi:

Lewat telefon bimbit berbunyi, imam tua cepat-cepat menyongsong berita sebelum tengah hari bahawa ada jiran yang baru sahaja dijemput Ilahi. Bersungguh-sungguh imam tua memperkenalkan nama dan menceritakan rupa, namun sedikit pun tidak terimbas ke jemala. Sedang, rumahnya hanya langkau sebaris dua.

Lorong-lorong ke surau semakin sempit dengan deretan kereta pelbagai saiz. Surau kecil sudah dipenuhi ratusan, barangkali ribuan jemaah yang berkemeja dan berbaju batik, lelaki, wanita tidak terkira. Setiap kali melintas, wajah mereka jarang pernah mata menyapa pandang.

Tengah hari itu, jika surau boleh berkata, pastilah rungutan menjadi seloka. Surau kecil, tidak pernah penuh barang satu saf, kali ini kaki melangkah terpaksa beriring maaf. Ramadan hanya melimpahkan manusia di waktu malam, sedangkan tengah hari itu, jemaah melimpah hingga ke tanah! Dari mana datangnya begitu ramai manusia? Soalan itu tidak terjawab hingga sempurna solat zuhur berjemaah.

Solat jenazah dijanjikan usai solat zuhur. Benar seperti yang dijanji. Sekujur tubuh dibalut kemas kurus menanti. Dan sebak menyelirat di pembuluh darah dengan simpati. Walaupun jenazah tidak dikenali, namun hanya hati berdengung dengan selawat dan puji Ilahi, moga jenazah diselimut dengan rahmat yang tidak bertepi. Kasihan, tidak cukup untuk memujuk anak-anak kecil arwah yang disorong waris ke sisi.

Sebelum surau di tinggalkan sepi kembali, sempat saya bertanyakan tubuh-tubuh asing yang masih menghantar pandang meningkap van jenazah yang belum datang. Bimbang juga, jika yang datang malaikat atau jin utusan. Jawab seorang lelaki sambil memaniskan muka bahawa mereka bukanlah siapa-siapa hanya ahli jemaah. Dan arwah, sebelum meninggal adalah sebahagian daripada jemaah mereka. Kata saya, Syukur Tuhan, dia mati berjemaah!”

16 Ogos 2010

Rindu Bumi Syam....

Assalamualaikum,
salam takzim buat teman-temanku semua yang dikasihi lagi ku cintai.. segala pujian baginya yang maha agung..selawat dan salam buat junjungan nabi kita Muhammad s.a.w. yang membawa rahmat keseluruh alam..serta sahabat-sahabatnya yang bermati-matian untuk melihat cahaya islam mekar dialam nyata ini...

Hari ini telah masuk hari ke-6 Ramadhan. Alhamdulillah atas ni'mat yang tidak terhingga ini. maha sucimu ya Rabb, yang telah memberi segala kenikmatan pada hambamu ini. walaupun tiap saat dan detik diri ini tidak lepas dari melakukan dosa dan maksiat padamu...namun kenikmatan yang besar kau balas padaku wahai Rabbi.. ampunkanlah dosa-dosaku wahai tuhanku..

Malam ini sungguh tenang.., setenang hatiku kini yang telah melaksanakan ibadah terawih menajdi imam disurau sebentar tadi.. duduk diserambi rumah melihat keindahan halaman rumah yang basah baru disirami hujan ..fikiranku tenang kini.. tadarrus sudah menjangkau ke juzu' 8 walaupun puasa baru memasuki hari ke 6.. Alhamdulillah...

Hatiku sepi, hatiku merindui sesuatu.. ye, aku merindui tanah SYAM Syria,. merindui teman-teman, merindui suasana, merindui segala-galanya disana...

TEMAN-TEMANKU...
Hatiku merindui pada tanah yang gersang itu, ketika membaca novel travalog Tarbiyyah
“Rindu Bau Pohon Tin” karangan Ustaz Hasrizal, siang tadi..fikiranku terus melayang-layang dalam lembayung majlis ilmu di Dataran Syam. Tanah yang luas dengan ilmu, barakah dengan ulama’ dan suburnya tanam-tanaman dan buah-buahan. Itulah Syria, tanah penuh keajaiban. Sungguh, jiwaku terus bergelora untuk menetap di sana. Bersama sheikh-sheikh quran, Syeikh Ismail Zabibi dan syeikh-syeikh yang lain.

Rindu pada majlis-majlis ilmu yang meriah bagaikan solat Jumaat di Malaysia, dikelilingi anak muda, orang-orang tua dan kanak-kanak yang sibuk menghafaz Al-Quran dan menadah kitab Sohih Bukhari dan sebagainya...

ANAK KECIL SYRIA...

Cintaku pada Syeikh Dr. Said Ramadhan Al-Bouti dengan kuliah beliau yang sering mengundang keinsafan dan air mata. Rindu pada Syeikh Na'im Aroqsusi, seorang yg sangat tawadhu' dengan kuliah syarah Sohih Bukhari beliau. Rindu pd Syeikh Dr. Wahbah Zuhaily, dengan tuangan indahnya Al-Quran dalam Kuliah Tafsir Al-Wajiz dan kuliah syarah Sohih Muslim oleh Syeikh Dr. Mustofa Bugho. Rindu pada sahabat-sahabat di Syria, yang keluarnya pagi, pulangnya malam demi menuntut ilmu. Rindu pada falafil, hummus, ruzz mandi dan anak-anak kecil Syria yang sangat comel.


DI MAQAM IMAM AN-NAWAWI RAHIMAHULLAH...

Rindunya pada tempat-tempat yang bersejarah di Syria yang menyedarkan kita tentang kehebatan Kerajaan Salahuddin Al-Ayubi dengan banyaknya taklukan dan Qala’ah Saladin, Penglima Khalid Al-Walid dengan pembukaan Kota Bosra yang juga Rasulullah S.A.W pernah dua kali tiba di Bosra, kincir air di Homs, Halab, makam Nabi Ayub, Nabi Zulkifly, Nabi Zakaria, Nabi Yahya, dan banyak makam sahabat-sahabat nabi, isteri nabi dan juga tabi-tabi’en, antaranya makam isteri Rasulullah S.A.W yang keenam iaitu Hindun binti Huzaifah al-Mughirah atau dikenali dengan Umm Salamah yang terdapat di Maqamat Bab Saghir, Dimashq. Bersebelahan Makam Umm Salamah terdapat Makam isteri Rasulullah S.A.W yang ke-10 iaitu Ramlah binti Abi Suffian atau dikenali dengan Umm Habibah.

Sahabat Nabi, Bilal bin Rabah, Auf bin Auf Ath-Thaqofi, Mu'awiyah bin Abi Suffian, Abdullah Umm Makhtum, Fatimah binti Hussein bin Ali, Asma' (Isteri Ja'far bin Abi Talib), Ammar bin Yasir, Uweis Al-Qarni , Ubai bin Qis Al-Nukha'i dan ramai lagi sahabat nabi yang berhijrah di Tanah Syam dan barakahnya para ulama’ terdahulu, Imam Nawawi di Nawar.

DI MAQAM KHALID IBN WALID

Terngiang-ngiang sabda Baginda Nabi SAW" "Beradalah kalian di Syam. Sesungguhnya ia merupakan negeri pilihan Allah, dihuni oleh makhluk pilihanNya"(1) dan “Keberuntungan bagi penduduk Syam,” maka kami bertanya : “Karena apa, wahai Rasulullah?” Beliau menjawab,”Karena para malaikat membentangkan sayap-sayapnya kepada mereka (penduduk Syam)” (2).
[1]. Hadits shahih li ghairihi. Lihat Shahihut-Targhib wat-Tarhib, no. 3089.
[2]. HR at Tirmidzi. Lihat Shahihut-Targhib wat-Tarhib, no 3095; ash-Shahihah, no. 503.

Robbi, sampaikan salamku pada Bumi itu, bumi yg Kau berkahi dengan RahmatMu dan KasihMU. Bumi tempat tumpahnya darah para Anbiya' dan para Syuhada'. Bumi yang Kau limpahi dengan cahaya ilmuMu. Semoga terus damai dan terus berkah, Syamku...