30 Januari 2010

Ajalku....saat yang pasti.

Firman Allah Taala yang bermaksud :
" Tiap-tiap umat mempunyai ajal,
maka apabila telah datang ajalnya.
mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun
dan tidak dapat (pula) mempercepatnya."
(Surah Al-A'raf ayat 34)

Ajalku pasti tapi tidak terlihat oleh pandanganku bilakan tibanya ia. Ajal yang Allah janjikan itu takkan tertangguh sesaatpun malah Izrail sesekali takkan alpa dalam urusannya. Sesungguhnya malaikat maut menjalankan perintah Allah SWT dengan tepat dan sempurna, dia tidak diutus hanya untuk mencabut roh orang sakit sahaja, ataupun roh orang yang mendapat kecelakaan dan malapetaka. Jika Allah SWT menetapkan kematian seseorang ketika tertimpa kemalangan, atau ketika diserang sakit, maka pastinya Izrail mencabut roh orang itu ketika kejadian tersebut..
Namun ajal tidak mengenal orang yang sihat, ataupun orang-orang kaya yang sedang hidup mewah dibuai kesenangan. Malaikat maut datang tepat pada waktunya tanpa mengira kita sedang ketawa riang atau mengerang kesakitan. Bila ajal telah tiba, maka kematian itu tidak akan tertangguh walau hanya sesaat. Tidak ramai manusia yang mengaitkan kematian itu dengan kehadiran malaikat maut yang datang tepat pada saat ajal seseorang sudah sampai, sedangkan malaikat maut senantiasa berada di sekeliling manusia, mengenalpasti memerhatikan orang-orang yang hayatnya sudah tamat. Sebuah hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas r.a, bahwa Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya :

"Bahawa malaikat maut meperhatikan wajah manusia
di muka bumi ini 70 kali dalam sehari.
Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang,
didapati orang itu ada yang gelak-ketawa.
Maka berkata Izrail :
Alangkah herannya aku melihat orang ini,
sedangkan aku diutus oleh Allah Taala
untuk mencabut nyawanya,
tetapi dia masih berhura-hura dan bergelak-tawa."

Betapa seringnya malaikat maut melihat dan menatap wajah seseorang, iaitu sebanyak 70 kali dalam masa 24 jam. Andai kata kita manusia sedar hakikat tersebut, nescaya kita tidak akan lalai mengingati mati. Tetapi oleh kerana malaikat maut adalah makhluk ghaib, manusia tidak melihat kehadirannya, atas sebab itu manusia tidak sesekali menyedari apa yang dilakukan oleh Malaikat Izrail atas Kuasa Allah.

Justeru itu, tidak hairanlah, jika ramai manusia yang masih mampu bersenang-lenang dan bergelak-tawa, seolah-olah dia tidak ada masalah yang perlu difikirkan dan direnungkan dalam hidupnya. Walaupun dia adalah seorang yang miskin amal kebajikan serta tidak memiliki secuil bekal amalan untuk akhiratnya, dan sebaliknya banyak pula melakukan dosa. Moga diri ini sentiasa beringat untuk mempertingkatkan amal dalam bulan Ramadhan yang telah dipenghujungnya ini kerana belum pasti diri akan ketemu Ramadhan seterusnya sedangkan ajal itu sangat pasti akan menjemput bila tiba waktunya.

Diari Perjuangan...


Assalamualaikum w.b.t....

Lama sungguh diri ini menyepi dari arena penulisan. walaupun baru beberapa hari, terasa bagaikan berbulan lamanya..kesibukan dunia menghalang diri dari menitipkan bicara di ruangan ini. Ruangan ini sebetulnya satu masa dahulu banyak memberi ruang kepada diri melontarkan kata bicara yang terbuku dihati. Di ruang ini jugalah banyak nostalgia pahit manis bergelar insan, hamba di tanah milik Allah ini dilakarkan.


Kepingin bukan kepalang untuk melepas rindu dendam dalam Diari Perjuangan. Banyak yang berlaku lewat musim ini. Alasan demi alasan tidak perlu disenaraikan dan dihujahkan. Apa yang pastinya atas kelemahan diri yang serba dhaif dalam mengurus segala haq-haq yang sepatutnya dilunaskan. Lantas hati berdegup bimbang apakah nanti bakal menerima azab Tuhan atas kecuaian diri menunaikan haq-haq yang prioriti terutamanya. Ampuni aku ya Rabb. Jika disini medannya, akan aku gagahi dan akan aku teruskan jua. Azamku dengan IzinMu.

Alhamdulillah masih diberikan kesempatan oleh Allah dengan kemampuan seadanya untuk berada di sini. Walau kadang terasa telah tiada daya meneruskan perjuangan yang amat getir di muka bumi Nya ini. Terkadang meneropong dalam diri sendiri.. getirkah segala yang aku perjuangkan selama ini? Benarkah perih jerih yang aku lalui ini adalah perjuangan keranaNya? Hampa, jawapannya selalu hampa....

Walau di mana kaki ini berpijak, kadang-kadang kita terasa seperti telah alah, biasa. kadang-kadang terasa diri ini seperti begitu asing. Siapa diri ini sebenarnya? Walau siapa pun kita, di mana jua kita berada dan apapun jua yang kita lakukan akhirnya kita dengan rela atau terpaksa tetap akan kembali kepada Nya, Rabb yang sesungguhnya maha pengasih, maha agung, maha bijaksana, yang sangat maha luas rahmatNya. Lantas diri terkadang bertanya kenapa kita sering ingin kembali kepadaNya, ingin berada di sisi Nya hanya di saat-saat akhir? Hanya di saat-saat susah? Hanya di saat bilamana telah hampa kita tidak ketemu apa yang dicari?

Benarlah hidup ini satu pelarian. Pelarian ini bagai tiada akhirnya. Perlukah kita memijak dan dipijak dalam pelarian ini. Banyak sungguh persoalan dalam diri dan akhirnya kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah, kembali kepada Allah itulah sebaik-baik jawapan...

Salam sayang dari PERSINGGAHAN buat teman-teman seperjuangan...

Siruu Ala Barakatillah...

26 Januari 2010

CALON SOLEHAH....


Usai berdoa seperti kelaziman, dia meraup wajahnya. Sunat selepas maghrib menjadi penutup ibadah senjanya lewat petang itu. Hajat memang ada untuk sama-sama meraih pahala berganda di masjid, namun keletihan diri terlebih dahulu merantai keinginan mulia itu. Serik rasanya beradu kekuatan di padang bola bersama dengan orang Arab. Ganas, agresif dan kasar. Semuanya bersatu dan berpadu membuahkan satu natijah yang kurang menyenangkannya.

Tersungkur jugak dia dibentes lawan. Tangannya mencapai minyak habbatussauda’ untuk disapukan pada bahagian yang sudah nampak lebam biru kehitaman. Kakinya hampir saja kejang. Aduh! Dia mengeluh panjang... tiba-tiba matanya terpaku pada penanda buku unik yang terselit malu dicelah Tafsir Quran.yang terletak diatas meja.

Jamahan matanya menyatakan dalam kiasan nurani penanda buku itu unik rekaannya.Seunik bicara dan hujah pemberi “book mark” itu. Kemas dengan kesan “liminate”, berukuran comel 30cm panjang kali 5cm lebar. Kalimah bertinta ungu itu menarikperhatiannya malah tersemat utuh di hatinya. Terkesan siapa yang membaca hikmah puitis itu...

“Layakkah kita untuk mengasihi manusia sekiranya kasih dan cinta kita padaPencipta manusia itu masih belum mantap. Tepuklah dada tanyalah iman.”

Semusim percutianku sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Yarmouk ini,sememangnya meninggalkan kesan yang mendalam pada hatiku. Alasan yang aku kemukakan semata-mata untuk mengelak apabila Tok Ayah persoalkan tentang jodoh, ternyata membuahkan satu mutiara kenangan. Kenangan yang menautkan dua hati melalui penyatuan idea mengenai CALON SOLEHAH.

“Mencari seorang calon isteri yang solehah bolehlah kita umpamakan sebagai mencari gagak putih. Semakin ia bernilai maka lazimnya semakin susah untuk kita dapatkan. Agaknya inilah penyebab ramainya anak muda yang masih mencari-cari jodoh sedangkan umur semakin meningkat…lewat menunaikan seru,”

“ Hafiz, kamu tidak mahu berkahwin ker?” eh, tetiba pula Tok Ayah mengutarakan soalan cepu mas ini... Pengajian memang sudah tamat namun hajat di hati ingin menyambung ke peringkat sarjana masih segar.

“Bukan tak berkeinginan Tok Ayah tapi..hajat nak mencari yang solehah. Biar dunia tidak berat sebelah,” harap-harap inilah alasan yang agak kukuh.

“Nak cari yang benar-benar solehah, bukanlah satu usaha yang mudah. Nak yang solat di awal waktu, hormati ibu dan ayah, pandai mengaji Al-Quran, menutup aurat..ish, banyak sungguh ciri-ciri kamu Hafiz..alamatnya, sampai Tok Ayah berumah kat batu dua lah baru sampai hajat..”

“Susahlah Tok Ayah…yang sipi-sipi ada la jugak jumpa…” sempat juga aku melontarkan idea spontan aku. Tok Ayah hanya menggeleng.

* * * * * * * * * * * * *

Pertemuan dengan Raihanah berlaku secara tidak sengaja, ketika bersama-sama TokAyah singgah ke warung pagi itu. Suka benar Tok Ayah dengan nasi lemak air tangan ibu saudara Raihanah.

Dia kurang mengenali siapa Raihanah. Malah daripada cerita ibu saudaranya itu, Raihanah adalah anak abangnya yang tinggal di Kedah. Tamat pengajian saahaja, gadis itu bermastautin sementara di kampungnya. manis tapi jarang tersenyum. Kulit asianya terlindung di sebalik baju t-shirt labuh paras lutut dan bertangan panjang itu, dengan tudung turki bercorak flora. Tiada yang istimewa sangat!

Namun peristiwa malam itu di surau ternyata membuktikan bahawa gadis itu bukanlah sebarangan gadis. Mempunyai daya tarikan pada yang tahu menilai mutiara wangian syurga ini.

* * * * * * * * * * * *

“calon isteri yang solehah…orang lelaki nak yang solehah sahaja, tapi kadangkala diri sendiri dia tak check betul-betul,” ngomel seorang gadis ketika perbincangan ilmiah pada malam itu apabila Tok Ayah menyatakan mengenai topic tersebut. Aku sekadar tersenyum...

Kelaziman kuliah maghrib lebih berbentuk ilmiah untuk menarik golongan muda bersama-sama meluahkan pendapat. Mendengar kata-kata gadis itu aku tersenyum sendirian.

“Raihanah ada sebarang pendapat?” soal tok ayah apabila gadis bertelekung putih itu hanya sekadar menjadi pemerhati debat tidak formal itu.

“sekadar pendapat tok ayah…jika kita nak bakal zaujah kita seorang yang solehah,dan yang bertaqwa saya ada satu tips,”
riuh seketika suasana dengan bisikan teman-temanku apabila Raihanah bersuara.

“sebelum kita kaji dan telek bakal isteri kita paling afdal kita telek diri kita dahulu. Teropong dulu takat mana iman dan taqwa kita,”

aku sedikit terkelu.Macamana agaknya? Namun persoalan itu hanya berlegar-legar di fikiran kosongaku, tidak terluah.

“nak dapat bakal isteri yang solehah, paling penting syarat utamanya solehkan
dulu diri anda. Di sinilah dapat kita kaitkan konsep bakal isteri yang solehah
untuk bakal suami yang soleh. tabur ciri-ciri suami soleh dalam diri. Siramkan
sahsiah mulia dengan sifat mahmudah lelaki soleh.

Aku mengangguk tanda setuju dengan pendapat bernas itu.“tapi, ada jaminan ker kita akan mendapat bakal isteri yang solehah?” teman disebelahku cuba mengutarakan soalan..

“Bergantung pada diri kita sebenarnya. Suburnya ciri-ciri lelaki soleh pada diri kita insyaAllah akan meningkatkan iman dan taqwa kita. Semakin cerahlah peluang untuk kita mendapat calon yang solehah. Jodoh adalah kerja Allah.Ingatlah jaminan Allah dalam surah Al-Nisa’ bahawa lelaki yang soleh telah ditetapkan akan dipertemukan dengan perempuan yang solehah. Lelaki yang mukmin untuk perempuan yang mukminat.” Raihanah melepas lelah barangkali. Lalu dia tersenyum.

“teruskan usaha mencari calon yang solehah. Tapi, dalam masa yang sama tingkatkan nilai kesolehan anda. Inilah strategi serampang dua mata.Cuma satu nasihat saya, jangan letakkan syarat bakal zaujah itu terlalu tinggi,”

“Kenapa pulak?” Tanya Tok Ayah. Eh, Tok ayah pun mengambil bahagian juga? kucuba tenangkan diri...

“bukankah hakikat sebuah perkahwinan adalah saling melengkapi. insyaAllah jika ada yang kurang pada bakal zaujah, tampunglah selepas perkahwinan tersebut. Hal iman dan taqwa janganlah diambil remah. Jangan nak berlebih dan berkurang dalam hal mencari pasangan kita., kebanyakan lelaki menilai dan meletakkan piawaian yang tinggi untuk bakalzaujahnya tetapi merendahkan piawaian itu untuk dirinya…itu adalah silap tafsir.”

Alhamdulillah, sekarang terbuka sudah pemikiran ruang lingkup. Aku tersenyum.Terima kasih Raihanah. Tok Ayah juga tersenyum. Ada hikmah di sebalik semua ini.

* * * * * * * * * * * *

“hafiz, ada surat untuk anta daripada Malaysia …”kenyitan mata Syahid sewaktumenyerahkan surat bersampul ungu itu diikuti dengan gelak tawa rafiknya yang lain, terus mematikan lamunannya. Senyuman yang berbunga di bibir Syahid seolah-olah memberitahunya bahawa warkah itu sudah pastinya daripada tunangannya, Raihanah.. calon pilihanTok Ayah, dan juga hatinya yang kini sedang meneruskan pengajian peringkat sarjana Undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa. Alhamdulillah, gadis inilah yang telah menemukannya titik noktah pencarian calon solehah. Syukur YaAllah.

Wallahukhairul makirin..~

p/s : syukran hafiz, ats perkongsian entri ini...salam dr kejauhan buatmu teman...

25 Januari 2010

Warkah Dini Hari, Maafkan Aku.....

Buat teman Ku yang dikasihi,

Baik buruk perjalanan hidup kita di atas hamparan duri dunia, masih ada lagi yang sudi menghulur tangan, memberi kasih dan sayang, dan turut merasai keperitan diari tersurat, memberi harapan di sebalik tersirat. Tiada hati paling sempit daripada manusia yang alpa mengingati Allah... tiada jiwa paling resah daripada manusia menggantungkan hatinya selain kepada Allah Taala.

Tidak cukup dengan apa yang ada, dan terus haloba dengan apa yang tiada.

Wahai teman...
Aku mengerti dengan apa yang sedang menimpa kita. Aku bisa merasai sehingga kini bait kesedihan demi kesedihan sepanjang perhubungan kita. Jatuh, dan jatuh lagi.... Hinggalah aku cuba bangkit bersendirian dalam perjuangan hidup yang telah menelan ramai manusia yang kering daripada rahmat Ilahi.


Di saat ku bangkit dari kesedihan yang berpanjangan ini, tiada siapa yang sudi menghulurkan tangan tanda bantuan dan ambil tahu akan diriku..ku tercari-cari dimanakah teman-temanku yang selama ini kuharapkan agar dia menjadi bahtera penyelamatku ketika aku karam dilautan kenikmatan dunia..ye, amat ku sesali akan apa yang berlaku ini.

Aku tahu, aku mengerti siapa diri ku kini...

Maafkan aku teman.., jika kukatakan biarlah diriku kini keseorangan tanpa sesiapa disisi. biarkan aku bersendirian mencari haluan hidupku yang entah bila akan kutemuinya..biarkan diri ini dipaksa menongkah kedinginan dan kepanasan mehnah keseorangan tanpa bumbung menangkis kerakusan merobek jiwa kecil ini.

Tiada Syurga paling indah tika hidup di dunia melainkan ketabahan semasa rebah, kesabaran semasa meredakan baran. Tiap-tiap saat di titisan keringat itu meluaskan lagi hamparan istana di Syurga akhirat nanti.

"Ingatlah wahai diri.., pasti Dia memandang keperluanmu di kecercaan menakutkan ini. Ujian ini, adalah tanda kasih dan cinta-Nya kepadamu. Dia telah memilih dirimu antara seribu. Hargailah untuk kamu berubah."

Wahai teman...
Jujurnya, aku sepatutnya berasa dengki dengan keadaanmu dan teman-teman yang lain. menuntut ilmu agama dan masih mempunyai rakan dan taulan disisi..sejujurnya kukatakan, Aku merindui semua itu tika ini..ye aku amat-amat merinduinya... Malam pasti berlalu, yang dibelenggu pasti patah. Dunia ini tidak pernah membiarkan seseorang hidup kekal, dan tidak pula membiarkannya dalam suatu keadaan yang bererti. ye aku mesti keluar dari kepompong ini secepat mungkin, demi janji-janji Ilahi kepada setiap hamba-Nya. aku pasti...


aku pasti bangkit.....