18 Februari 2010

Muhasabah Buat Adik-Adikku

Segala puji milik pencipta dan pentadbir,selawat dan salam diukirkan buat junjungan mulia pembela umat penegak keadilan,penentang kebatilan jua buat keluarga baginda yang tercinta serta sahabatnya yang setia.

Adik-adikku,
Izinkan jemariku menukilkan sifat-sifat kaum muttaqin yang kukutip dari pidato sahabat setia Karamallahu Wajhah sebagai siraman buat diriku dan kalian agar tetap subur keimanan yang terbina.Sesungguhnya ketika Allah Subhanahu Wata'ala menciptakan makhlukNya,Dia mencipta kita dalam keadaan tidak berhajat akan ketaatan kita dan tidak cemas akan pembangkangan kita.


Maksiat apa yang dilakukan kita tidak akan mendatangkan sesuatu kemudharatan kepadaNYa.Sebagaimanapun taatnya kita juga tidak akan mendatangkan sedikit pun manfaat bagiNya.Sebaliknya Dialah yang membahagikan segala keperluan hidup kita dan Dialah pula yang meletakkan kita di tempatNya di dunia ini.

Adik-adikku,
Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa,merekalah manusia-manusia yang bijak bestari.Kebenaran merupakan inti ucapan mereka,kesederhanaan adalah 'pakaian' mereka dan kerendahan hati mengiringi gerak geri mereka.


Mereka tundukkan pandangan mereka terhadap segala yang diharamkan Allah.Dan mereka gunakan pendengaran mereka hanya untuk mendengarkan ilmu yang berguna.
Jiwa mereka selalu diliputi ketenangan dalam menghadapi cubaan,sama seperti dalam menerima kenikmatan.Sekiranya bukan kerana kepastian ajal yang telah ditetapkan,nescaya roh mereka takkan tinggal diam dalam jasad-jasad mereka walau hanya sekejap,baik disebabkan kerinduannya kepada pahala Allah,atau ketakutan akan hukumanNya

Adik-adikku,
Begitu agung Sang Pencipta dalam hati mereka,sehingga apa saja,selain Dia menjadi kecil dalam pandangan.Begitu kuat keyakinan mereka terhadap syurga Allah,sehingga mereka rasakan kenikmatannya seolah telah melihatnya dan begitu kuat keyakinan mereka tentang neraka Allah,seakan mereka rasakan azabnya.Hati mereka selalu diliputi kekhusyukan.

Di malam hari,mereka beribadah meluangkan sedikit waktu dunia mereka dengan menghayati kalimah-kalimah Allah.Setiap kali menjumpai ayat pemberi harapan,tertariklah hati mereka untuk mendambakannya,seakan Syurga telah ada di depan mata.Dan bila melewati ayat pembawa ancaman,mereka hadapkan seluruh pendengaran hati kepadaNya seakan desir Jahannam dan geledaknya bersemayam dalam dasar telinga mereka.

Adik-adikku,
Adapun di siang hari,merekalah orang-orang yang penuh kemurahan hati,berilmu,berbakti dan bertaqwa.Tanda-tanda yang tampak pada diri mereka ialah keteguhan dalam beragama,ketegasan bercampur dengan kelunakkan,keyakinan dalam keimanan,kecintaan yang sangat pada ilmu,kepandaian dalam keluhuran hati,kesederhanaan dalam kekayaan,kekhusyukkan dalam beribadah dan menjaga diri dari segala yang tamak.

Adik-adikku,
Teruskanlah perjuangan suci ini keranaNya,semoga dengannya cahaya kegemilangan Islam kembali bersinar di alam buana ini.Tabur dan semaikanlah ilmu yang ada untuk masyarakat dan ummat Islam.Mereka amat berhajat kepada ilmumu,siang malam mereka tidak pernah lokek mendoakan kejayaanmu.Maaf atas segala-galanya dan salam ikhlas penuh Ukhuwah dan salam perjuangan...

Tiada ulasan: