30 Oktober 2009

CINTA DAN PERKAHWINAN...

Suatu pagi yang dingin, terjadilah satu perbualan antara seorang guru dan pelajarnya.
Pelajar : cikgu, bolehkah aku bertanya sesuatu kepadamu?
Guru : Boleh saja, apa salahnya. Tanyalah, insyaallah aku akan menjawabnya jika ku mampu. Jika tidak, aku membantumu mencari jawapan kepada persoalanmu itu.
Pelajar : cikgu, apa itu cinta? Bagaimanakah aku boleh mendapatkannya?
Guru : Oh Cinta. Hmm.. Begini… Ada sebuah ladang gandum yang luas di depan sana, berjalanlah kamu dan jangan sesekali kamu berundur. Kemudian ambillah satu ranting. Sekiranya kamu mendapati ranting tersebut sangat menakjubkan, ertinya kamu telah menemui cinta.
Pelajar tersebut pun berjalan dan tidak berapa lama dia kembali dengan tangan yang kosong.
Guru : Mengapa kamu tidak membawa sebatang ranting pun?
Pelajar : Aku hanya terpaksa memilih satu ranting saja, dan sewaktu berjalan aku tidak boleh mengundur ke belakang semula. Sebenarnya aku telah berjumpa dengan satu ranting yang paling menakjubkan tapi aku tak tahu apakah yang akan menakjubkan di hadapan sana nanti. Maka aku biarkan ranting itu lalu aku dapati tidak ada lagi ranting yang paling menakjubkan selain daripada yang aku lihat tadi. Jadi aku tidak mengambil walau sebatang pun akhirnya.
Guru : Hmm… Ya, itu lah cinta.
Di hari yang berlainan pula pelajar tersebut bertemu sekali lagi dengan gurunya. Ada sesuatu yang ingin ditanyakannya.
Pelajar : cikgu, apa itu perkahwinan?
Guru : Hmm… Ada hutan yang subur di depan sana. Berjalanlah kamu. Tapi janganlah kamu sesekali mengundur ke belakang. Tebanglah sepohon pokok saja. Dan tebanglah jika kamu merasakan bahawa pohon tersebut adalah yang paling cantik, segar dan tinggi. Kerana kamu telah menemukan apa itu perkahwinan.
Pelajar tersebut pun berjalan. Dan tidak berapa lama, dia datang semula dengan membawa sepohon kayu. Walaupun pohon tersebut tidaklah berapa segar, cantik dan tinggi pada pandangan guru tersebut.
guru : Mengapa kamu memotong pohon seperti ini?
Pelajar : Kerana berdasarkan pengalaman ku sebelum ini, aku hanya berjalan separuh daripada hutan tersebut dan aku takut akan kembali dengan tangan kosong. Jadi aku mengambil kesempatan menebang pohon ini lalu dibawa kesini. Pada pandanganku ianya adalah pohon yang terbaik buatku. Aku tidak mahu kehilangannya atau menyesal kerana tidak memilihnya.
Guru :Bagus. Itulah perkahwinan.
Semoga ada ilmu dan manfaat dari cerita diatas buat diriku merenung dan memikirkan jalan hidupku selama ini....pagi jumaat yang indah dan barakah...semoga Allah memberkati diriku dan sahabat-sahabat semua....

29 Oktober 2009

kenali cendekiawan Islam "IBN NAFIS"

Nama penuh beliau ialah Ala'-al Din Abu Al-Hasan Ali Ibn Abi Al-Hazn Al-Qarshi Al- Dimashqi Al-Masri. Dilahirkan pada tahun 607H di Damsyiq Syria. Beliau pernah mendapat pendidikan di kolej perubatan hospital yang diasaskan oleh Nur Al-Din Zangi. Dalam mendalami bidang ini, beliau mendapat didikan Muhaththab Al-Din Abdul Al-Rahim. Selain perubatan, Ibn Al-Nafis juga mendalami ilmu perundangan, sastera dan theologi. Beliau terkenal sebagai pakar dalam mazhab Syafie dan seorang pakar dalam bidang perubatan.

Selepas mencapai tahap pakar dalam bidang perubatan dan perundangan, beliau berpindah ke Kaherah dan menerima jawatan sebagai pngarah di hospital Nasri yang terkenal di bandar itu. Di sini beliau mencurahkan bakti melatih ramai pakar perubatan termasuklah Ibn Al-Quff Al-Masihi seorang pakar bedah yang terkemuka. Beliau sebenarnya turut pernah berkhidmat di sekolah Mansuriyah di bandar yang sama. Apabila beliau meninggal dunia pada tahun 678H, beliau mendermakan rumah, perpustakaan dan kliniknya ke Hospital Mansuriyyah.

Sumbangan beliau kebanyakannya dalam bidang perubatan.ini meliputi komentar lengkap terhadap beberapa teks perubatan terdahulu, lengkap dengan analisis yang kritikal selain menambah hasil kerjanya. Sumbangan terpentingnya adalah berkenaan sistem saluran darah yang hanya diketahui dunia perubatan moden 3 abad kemudiannya.

Ibn Al-Nafis merupakan tokoh yang terawal menerangkan tentang paru-paru dan huraian bronki serta hubung kait sistem pembuluh darah dengan udara dan darah. Lebih dari itu, beliau turut menerangkan tentang arteri koronari yang merupakan sumber bekalan darah bagi otot-otot jantung.

Kerja penulisan beliau banyak berjilid-jilid. Yang paling terkenal ialah buku Al-Shamil Fi Al-Tibb. Ianya ditulis sebagai sebuah ensiklopedia perubatan yang mengandungi 300 jilid naskah. Malangnya ia tidak sempat disempurnakan sebelum Ibn Al- Nafis meninggal dunia. Menuskrip ini boleh didapati di Damsyiq. Bukunya berkenaan oftolmologi merupakan penulisan tulinnya. Manakala bukunya yang paling popular ialah Mujaz Al-Qanun, sehingga beberapa buah ulasan dibuat terhadapnya. Beliau turut membuat ulasan terhadap penulisan lain lain seperti Hippocrates dan Ibn Sina. Bukunya Hunayn Ibn Ishaq turut diulasnya. Satu lagi buku penulisan tulin beliau yang terkenal adalah berkenaan pemakanan dan kesihatan yang bertajuk Kitab Al-Mukhtar fi Aghdiya.

Ibn Al-Nafis menggabungkan pengetahuan perubatan yang diperolehi ketika itu dan turut memperkayakannya.Ini memberi pengaruh besar terhadap perkembangan sains perubatan baik di timur mahupun di barat. Malangnya hanya satu karya beliau yang diterjemahkan ke bahasa latin. Oleh itu bangsa eropah tidak mendapat sepenuh manfaat dari hasil usahanya.

27 Oktober 2009

SETAHUN LAGI BERLALU DALAM HIDUPKU...


Setahun lagi berlalu. Umur tidak bertambah, bahkan berkurang. Semakin hari, kita semakin mendekati hari yang selepasnya tiada bermakna lagi harta dan pangkat, melainkan tiga. Tiga yang bisa menyambung amal iaitu

sedekah jariah,
ilmu yang dimanfaatkan,
dan anak soleh yang mendoakan.

Persoalannya - adakah sudah kita bersedia menghadapi hari itu? Kematian datang bila-bila masa sahaja. Tika masanya tiba, kematian akan hadir, tiada lewat dan tiada awal. Tepat. Tidaklah ia boleh dilengahkan, tidak juga mampu dipercepatkan. Ia hadir kepada semua, tidak mengira bangsa dan agama, tidak kira yang tua mahu pun yang muda.

Marilah sama-sama koreksi diri, merenung, adakah sepanjang 1430 Hijriah sudah dilengkapkan diri ini dengan bekal menuju ke sana, ataupun ia menjadi satu lagi tahun yang padanya penuh maksiat dan dosa. Tidak perlu menuding jari mengatakan si fulan itu banyak berbuat dosa, sedang diri kita hanyut dengan gelora dunia.

Sebagai seorang hamba yang lemah, saya menyusun sepuluh jari pohon keampunan dan kemaafan kiranya di sana terdapat kontradiksi pada perkataan yang mengkhilafi perbuatan. Diakui, banyak hati-hati yang terguris dek sifat diri yang tidak matang ini.

Buat Mak dan Abah, juga abang, kakak dan adikku yang tersayang, maafkan andai tersilap kata, tersalah bicara. Tegurlah diri ini jika terlangkau garis batas-Nya. Sama-samalah tolong-menolong di dalam perkara kebaikan dan tegah-menegah di dalam perkara kemungkaran.

Buat insan yang dekat di hati, thabatlah dalam berjuang. Jangan mudah rasa kecewa dan putus asa atas ujian yang melanda. Bersabarlah. Usahlah diikut diri ini yang penuh kecacatan. Sesungguhnya saya bukanlah seorang yang boleh dijadikan contoh tauladan yang baik. Apa yang baik, ambillah. Apa yang buruk, jauhilah. Ampun maaf atas segala kesilapan dan kesalahan.

Untuk rakan-rakan seperjuangan, andai terdapat secubit alpa, bantulah diri ini untuk mengingati. Andai terselit secebis kufur, pimpinlah saya ke arah syukur.Saya bukanlah seorang yang layak memberi nasihat, jauh sekali memberi teguran. Apa yang mampu saya lakukan ialah melontarkan pandangan pada apa yang dirasakan rasional.

Kepada sidang pembaca, tegurlah saya andai pada apa yang saya lontarkan ini terdapat keburukan.Sama-samalah berazam untuk menjadi mukmin sejati. Yang mana semalam tidak serupa hari ini.

"Wahai Tuhan, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim, yang awal. Dan pada kelebihan-Mu yang besar dan kemurahan-Mu yang melimpah. Kami memohon pemeliharaan dari-Mu di sepanjang tahun ini dari syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga kami memohon pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan berikanlah kami kekuatan untuk meningkatkan usaha bagi mendekatkan diri kami kepada-Mu Wahai Tuhan Yang Maha Agung dan Maha

25 Oktober 2009

"BULAN SAHABAT"...BUAT SAHABAT-SAHABAT UKHWAHKU

Assalamu Alaikum kepada semua pengunjung blog persinggahanterakhir, tidak kira siapa jua anda, dan di mana anda berada.., salam ta’zim dan salam ukhwahfillah bagi sahabat-sahabat kenalan baruku diblog ini…agak lama juga meninggalkan blog ini tanpa post terbaru.. Nak kata tak cukup masa, mungkin juga, semua manusia mengejar masa..lebih-lebih lagi terasa sangat kini masa pantas berlalu…

Post ku kali ini memfokuskan pada perkataan ‘sahabat’. Layak rasanya bulan Oktober 2009 ini, dinobatkan sebagai “bulan sahabat”, bulan untuk menghayati apa itu erti persahabatan.. Tapi untuk aku je la.. Biar la aku celebrate sorang2, ataupun dengan sahabat aku jer..Tapi kenapa ye? Kenapa aku memanggil bulan ini “bulan sahabat”?

Bulan ini menyaksikan aku kerap bermain perasaan, bergenang air mata, kerana insan-insan yang kugelar sahabat…bermacam karenah dan perangai ku temui, sampaikan abangku berpesan “berkawan dan carilah kawan seramai mungkin, tapi awas.., jangan sampai terjebak dengan akhlak buruk mereka…” ye.. terima kasih abangku atas nasihat itu.

Pada awalnya, air mata itu berlinang kerana kekesalan, juga kegagalanku menerima teguran nasihatnya beberapa bulan yang lalu… Sejak terguris hati sahabatku itu, (walaupun aku telah memohon maaf daripadanya), aku tidak lagi menerima emel-emel forward yang memberikan seribu satu perasaan, daripadanya lagi…
Ku biar kalam berbicara.. Menghurai maksudnya di jiwa…
Agar mudah ku mengerti.. Segala yang terjadi..
Sudah suratan Ilahi..
Ku biarkan pena menulis..
Meluahkan hasrat di hati.. Moga terubat segala..
Keresahan di jiwa.. Tak pernah ku ingini…
Aku telahpun sedaya.. Tak melukai hatimu..
Mungkin sudah suratan hidupku.. Kasih yang lama terjalin..
Berderai bagaikan kaca..
Oh teman, maafkanlah diriku..
Oh Tuhan.. Tunjukkan ku jalan..
Untuk menempuhi dugaan ini..
Teman, maafkan jika ku melukaimu..
Moga ikatan ukhuwah yang dibina.. Ke akhirnya…
Aku telahpun sedaya.. Tak melukai hatimu..
Mungkin sudah suratan hidupku.. Redhalah apa terjadi..
Usahlah dikau kesali.. Mungkin ada rahmat yang tersembunyi..

Gema lagu Sahabat Sejati, daripada UNIC ini la yang menyaksikan ego seorang lelaki akhirnya tumpas jua.., keseorangan di dalam kereta, di waktu malam, diiringgi hujan lebat yang mengguruh… (tengah tunggu mak balik masjid) Sebak di dada tak tertahan lagi.. Air mata hanya bergenang dikelopak... mengenangkan persahabatan suci atas dasar ukhwahFillah, akhirnya terlerai di tengah jalan. Di waktu itulah, ku panjatkan doa kepada Ilahi, andainya sahabatku itu tidak mahu menghubungiku lagi, aku redha.. Aku memaafkan semua kesalahan dirinya (andai ada) ya Tuhanku.. Namun, kau temukanlah kami di taman syurgaMu ya Allah.. Biarlah redha Mu mengiringi kepulangan kami ke negeri abadi nanti..

Sungguh Allah itu Maha Mendengar dan Maha Mengasihani.. beberapa hari selepas itu, tanpa diduga, aku telah menerima emel (walaupun sekadar emel forward) daripadanya. setelah sekian lama tidak singgah di kotak inboxku..Alhamdulillah, sehingga ke hari ini kami masih lagi bersua messeg dan e-mail, walaupun peristiwa sebelumnya masih meneylubungi persahabatan kami…. Terima kasih, wahai tuhanku

Kisah kedua (sahabat yang lain), ia agak berlainan, kerana aku bertukar posisi.. Jika dalam kisah pertama, aku dinasihati, dalam kisah ini aku menasihati pula… Mungkin caraku agak kurang kena pada gayanya.. Ntah la.. Akupun tak pasti.. Namun hubungan kami menjadi renggang selepas itu… Aku sendiri tidak pasti kenapa dia seolah-olah menjauhiku.. Tiada jawapan hitam putih yang menjawab soalan itu.. Dia sekadar menafikan.. Di waktu2 tertentu, tatkala diri ini berseorangan, sedih juga mengenangkan sikap sahabatku yang seorang ni..

Bulan ini juga aku menyaksikan betapa Maha Penyayangnya Tuhan itu… Tatkala diri ini dirundung kesedihan, Dia hantarkan sahabat-sahabatku yang lain pula (yang tiada kaitan di antara mereka dan jarang2 sekali menghubungiku), mententeramkan hati yang kesedihan ini.. SMS –SMS yang dihantar, menggambarkan seolah-olah sahabat-sahabat itu dapat merasai apa yang sedang melanda diriku.. Begitulah Maha Penyayang nya Tuhan, menggerakkan hati hamba-hambaNya.. Kisah yang kedua juga berakhir dengan ending yang baik.. Alhamdulillah…

Maka layaklah bulan ini kuraikan dengan nama “bulan sahabat”… Semoga aku telah dapat mengambil iktibar dengan sebaiknya, daripada apa yang telah terjadi..

Di kesempatan ini juga, ingin ku selitkan kandungan buku Misteri Alam Kubur yang diadaptasi daripada kitab Syeikh Daud al-Fatani, yang mempunyai kaitan dan pengajaran dengan post ku kali ini..

Dalam kitab Syu’abul Iman, al-Baihaqi meriwayatkan daripada Ali bin Abu Talib r.a, katanya: “Ada dua orang lelaki mukmin yang bersahabat, dan dua orang lelaki kafir yang juga bersahabat

Salah seorang mukmin itu meninggal dunia. Tatkala matinya dia diberikan khabar gembira oleh malaikat tentang syurga. Dalam pada itu teringatlah dia kepada sahabatnya, lalu diapun berkata:

Wahai Tuhanku, sesungguhnya sahabatku si polan itu sering menyuruhku supaya taat kepada-Mu dan kepada Rasul-Mu. Dia menyuruh aku melakukan kebaikan serta melarang aku daripada melakukan kejahatan. Dia memberitahuku bahawa aku akan berjumpa dengan-Mu. Oleh itu, wahai Tuhanku, janganlah Engkau sesatkan dia setelah kematianku, sehinggalah Engkau memperlihatkan kepadanya apa yang aku dapat lihat ini, dan Engkau redha kepadanya seperti Engkau redha kepadaku.”

Setelah sahabatnya itu meninggal dunia maka bertemulah roh mereka berdua, lalu kedua-duanya diberitahu bahawa antara mereka saling puji memuji antara satu sama lain. Kemudian mereka berdua saling berkata antara satu sama lain: “Engkaulah sebaik-baik sahabat dan kekasih.”

Sementara itu, apabila salah seorang yang kafir meninggal dunia, maka diberitakan kepadanya tentang neraka. Tatkala itu, teringatlah dia kepada sahabatnya yang juga kafir, lalu diapun berkata: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya sahabatku selalu menyuruhku menderhaka kepada-Mu dan Rasul-Mu, dan dia menyuruh aku melakukan kejahatan serta melarang aku daripada melakukan kebaikan. Dia memberitahuku bahawa tidak ada pertemuan antaraku dengan-Mu. Wahai Tuhanku, janganlah Engkau beri petunjuk kepadanya setelah ketiadaanku, sehinggalah Engkau perlihatkan kepadanya apa yang Engkau perlihatkan kepadaku, dan Engkau murka kepadanya seperti Engkau murka kepadaku.” Apabila sahabatnya meninggal dunia, berkumpullah roh mereka berdua, lalu dikatakan kepada mereka berdua: “Hendaklah setiap kamu memuji antara satu sama lain.” Lalu setiap mereka berdua pun berkata: “Engkaulah sejahat-jahat saudara dan sahabat.” Wallahu Alam…

Dan akhir kata daripadaku, terima kasih buat insan-insan yang menjadikan diri ini sebagai sahabat mereka.. Begitu juga insan-insan yang kupahatkan nama mereka di hatiku sebagai sabahat-sahabat.. Salam ukhuwah fillah. Maat taufiq wal hidayah..