02 Oktober 2009

"WAHAI DIRI"..!!! Belajarlah erti Redho & Sabar

Rasanya macam sukar nak menulis kembali. Mungkin banyak peristiwa duka yang berlaku sepanjang Akhir bulan julai sehingga Awal bulan september. ini adalah hari-hari yang terlalu sukar untukku. Hari-hari yang penuh dengan ujian dan dugaan.Bayangkan sepanjang hari-hari yang ku lalui, terlalu sedih untuk dikenang.

Ibaratnya dugaanku selama ini seolah-olah ku sedang membina sebuah istana pasir yang cukup cantik di tepi pantai. ku jaga istana pasir itu, ku bina ia mengikut kehendak alam, dengan penuh berhati-hati agar tidak merosakkan mana-mana bahagian yang telah lengkap. ku mengambil masa berjam-jam malah berhari-hari membina istana itu tanpa tidak pernah menyangka ia akan musnah akhirnya kerana ia dibina di tepi pantai.

Fenomena itu sememangnya kutahu. Tapi kuasa Allah mengatasi segala-galanya. Ombak hidup mengikut aturan sang Pencipta. Akhirnya istana pasir yang ku bina musnah jua dipukul ombak besar. ku ingin menangis kerana istana pasir itu telah musnah kerana penat lelah ku membina dan menjaganya selama ini. Masakan usaha berhari-hari ku musnah dalam masa tidak lebih seminit. Sekelip mata. Begitulah ibarat peristiwa yang ku lalui kini.

Ujian itulah kehidupan

Allah ingin menguji ku lagi. ku demam dan selsema. Bukan sehari dua malah hamper 12 hari dan hari ini baru rasa demam ku berkurangan. Ditambah pula dalam tempoh itu ku kena siapkan beberapa kertas kerja yang jamaah amanahkan padaku.

Aduhai, terasa amat perit hari yang ku lalui itu. (Bukan mengeluh, tapi ekspresi ku rasa). Mungkin jua terlampau terkejut.

Kata abah, ‘sabarlah, Allah baru mencubit sedikit sahaja paha kita, kita telah mengeluh panjang dan bising-bising.’ Kata-kata abah betul. Tapi ku bukan mengeluhjua bukan tak redho, Cuma ku rasa ingin mengadu sangat-sangat kepada Allah. Kata Abusaif,

"kehidupan kita ini tidak dapat lari dari ujian-ujian Allah kerana ujian itulah sebenarnya adalah kehidupan kita."

Ya memang ku akui. Redho itu perit, Tapi Imbalannya Manis… Beberapa hari ini ku cuba mencari kekuatan diriku untuk menerima apa yang berlaku dalam hidupku.ku cuba belajar erti redho. Betul, redho tidak semudah yang kita sebut-sebutkan. Redho itu perit, tapi imbalannya manis.

Begitulah pesan abangku. kerana ujian demi ujian berterusan bertamu pada diriku.. ku cuba redho Ya Rabb...walau sesekali hati ini mengeluh. aku redho dan ku terimanya dengan hati yang terbuka.

Kata orang sabar itu adalah yang paling mulia, tapi redho itu paling tinggi selain bersyukur menerima ujian kerana antara sabar dan redho, redho itu kita perlu ikhlas menerima setiap ketentuan. Bayangkan jika anda menerima ujian yang terlalu berat, kita akan tahu apa bezanya redho dan sabar. Ia memang berbeza.

Dulu seorang sahabatku bertanya, bagaimana mahu menjadi seorang yang redho? Waktu itu ku hanya diam tanpa memberi apa-apa respon kerana sememangnya ku tidak tahu. Hari ini, setelah ku lalui episode yang sukar dalam hidupku,ku telah punyai jawapannya. Pertama jangan terlalu mengikut perasaan dan sentiasa berfikiran positif, maka dengannya kita akan ikhlas dengan ketentuan Allah.

Kedua yakinlah bahawa apa yang diambil Allah, lalu kita bersabar, maka tidaklah Allah memberikan ganti melainkan apa yang diberi ganti itu lebih baik daripada apa yang diambil. Di sinilah perlunya sabar. Alhamdulillah hari ini ku belajar. Berkata Umar Abdul Aziz

"Allah tidak memberi kenikmatan kepada seseorang hambaNya dengan suatu kenikmatan kemudian Dia mengambil kenikmatan itu daripadanya. Lalu digantikanNya dengan kesabaran, melainkan apa yang dijadikan ganti itu lebih baik daripada apa yang diambilnya"

Kembalilah kepada Allah

Sememangnya, kita tidak dapat lari daripada ujian Allah. Kerana dengan ujian itulah iman akan teruji. ku telah temui ramai orang yang diuji hampir sama sepertiku. Andai diikutkan nafsu dan emosi, pasti ku tidak ubah seperti orang-orang yang mengambil jalan mudah untuk menyelesaikan masalah seperti mengurung diri, merayau-rayau dan sebagainya. Nauzubillah.

Alhamdulillah episod duka ku lalui itu dengan penuh terarah. ku masih ada tempat mengadu kepada Allah sekalipun pada masa yang sama ada mulut-mulut manusia yang tidak lepas daripada membicarakan tentang manusia-manusia lain.

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata ‘kami beriman’ sedangkan mereka tidak diuji (dengan sesuatu ujian) "– (Surah al-Ankabuut ;2)

Apa yang penting, kita kembalilah kepada Allah. ku ingin ulangi kata-kata abah, Allah baru sahaja mencubit kita sedikit jika hendak dibanduingkan dengan nikmat kurniaanNya yang melangit luas. Kita jangan cepat melatah dan merasa cemas dengan ujian yang menimpa. Disinilah kebergantungan kita kepada Allah sangat diperlukan. Al-Mutanabbi berkata,

"Kecemasan hanya akan mengakibatkan tubuh menjadi kurus dan rambut akan beruban dan menjadi amat tua.’ Jangan membiarkan ujian itu menjadikan kita cepat tua"

Wasiat Luqman Al-Hakim..

"Dan selalulah berharap kepada Allah tentang sesuatu yang menyebabkan untuk tidak menderhakai Allah. Takutlah kepada Allah dengan sebenar-benar takut (taqwa), tentu engkau akan terlepas dari sifat berputus asa dari rahmat Allah"

Binalah Istana untuk didiami,

Syukur, terlalu banyak pelajaran yang Allah berikan kepadaku dalam menempuh ujian kehidupan. Pertama seperti wasiat Luqman al-Hakim lagi kepada anaknya

“Wahai anakku, janganlah engkau langsung menelan sahaja kerana manisnya barang dan janganlah langsung memuntahkan sahaja pahitnya sesuatu barang itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu memberi kesengsaraan”

Keduanya, ku tidak mahu membina istana pasir lagi. ku ingin membina istana untuk ku diami. Kali ini, ke perlu berhati-hati.

Ketiga, biarlah apa yang diperlakukan orang terhadap kita, selagi keyakinan kita pada Allah selagi itulah hidup kita bahagia. Akhirnya ku cuba belajar erti sabar dan redho. Amin.

Tiada ulasan: