29 Oktober 2009

kenali cendekiawan Islam "IBN NAFIS"

Nama penuh beliau ialah Ala'-al Din Abu Al-Hasan Ali Ibn Abi Al-Hazn Al-Qarshi Al- Dimashqi Al-Masri. Dilahirkan pada tahun 607H di Damsyiq Syria. Beliau pernah mendapat pendidikan di kolej perubatan hospital yang diasaskan oleh Nur Al-Din Zangi. Dalam mendalami bidang ini, beliau mendapat didikan Muhaththab Al-Din Abdul Al-Rahim. Selain perubatan, Ibn Al-Nafis juga mendalami ilmu perundangan, sastera dan theologi. Beliau terkenal sebagai pakar dalam mazhab Syafie dan seorang pakar dalam bidang perubatan.

Selepas mencapai tahap pakar dalam bidang perubatan dan perundangan, beliau berpindah ke Kaherah dan menerima jawatan sebagai pngarah di hospital Nasri yang terkenal di bandar itu. Di sini beliau mencurahkan bakti melatih ramai pakar perubatan termasuklah Ibn Al-Quff Al-Masihi seorang pakar bedah yang terkemuka. Beliau sebenarnya turut pernah berkhidmat di sekolah Mansuriyah di bandar yang sama. Apabila beliau meninggal dunia pada tahun 678H, beliau mendermakan rumah, perpustakaan dan kliniknya ke Hospital Mansuriyyah.

Sumbangan beliau kebanyakannya dalam bidang perubatan.ini meliputi komentar lengkap terhadap beberapa teks perubatan terdahulu, lengkap dengan analisis yang kritikal selain menambah hasil kerjanya. Sumbangan terpentingnya adalah berkenaan sistem saluran darah yang hanya diketahui dunia perubatan moden 3 abad kemudiannya.

Ibn Al-Nafis merupakan tokoh yang terawal menerangkan tentang paru-paru dan huraian bronki serta hubung kait sistem pembuluh darah dengan udara dan darah. Lebih dari itu, beliau turut menerangkan tentang arteri koronari yang merupakan sumber bekalan darah bagi otot-otot jantung.

Kerja penulisan beliau banyak berjilid-jilid. Yang paling terkenal ialah buku Al-Shamil Fi Al-Tibb. Ianya ditulis sebagai sebuah ensiklopedia perubatan yang mengandungi 300 jilid naskah. Malangnya ia tidak sempat disempurnakan sebelum Ibn Al- Nafis meninggal dunia. Menuskrip ini boleh didapati di Damsyiq. Bukunya berkenaan oftolmologi merupakan penulisan tulinnya. Manakala bukunya yang paling popular ialah Mujaz Al-Qanun, sehingga beberapa buah ulasan dibuat terhadapnya. Beliau turut membuat ulasan terhadap penulisan lain lain seperti Hippocrates dan Ibn Sina. Bukunya Hunayn Ibn Ishaq turut diulasnya. Satu lagi buku penulisan tulin beliau yang terkenal adalah berkenaan pemakanan dan kesihatan yang bertajuk Kitab Al-Mukhtar fi Aghdiya.

Ibn Al-Nafis menggabungkan pengetahuan perubatan yang diperolehi ketika itu dan turut memperkayakannya.Ini memberi pengaruh besar terhadap perkembangan sains perubatan baik di timur mahupun di barat. Malangnya hanya satu karya beliau yang diterjemahkan ke bahasa latin. Oleh itu bangsa eropah tidak mendapat sepenuh manfaat dari hasil usahanya.

Tiada ulasan: