20 Julai 2009

BERTEMU DAN BERPISAHLAH KERANA ALLAH..!!

Perhubungan sesama manusia mempunyai pelbagai nama dan gelaran. Adik-beradik, ibubapa dan anak, persahabatan dan di antara suami dan isteri. Namun sejauh manakah perhubungan itu mampu bertahan lama mengharungi arus cabaran yang tidak dapat diduga?

Di antara insan yang kita kenali sejak kecil, berapa ramaikah yang masih berhubungan dengan kita? Berapa ramai yang kita kenali dahulu telah pun berpisah...ada di antaranya yang tidak akan kembali lagi, telah pun menyahut seruan Illahi.


Matlamat kita di dunia ini bukanlah untuk mengumpulkan sebanyak mungkin bentuk kemewahan untuk kepentingan diri sendiri. Bukan juga untuk mencapai tahap tertinggi dalam kerjaya pilihan kita. Bukan juga untuk mengembara ke serata tempat di dunia untuk melihat-lihat pelbagai keunikan dan kecanggihan tamadun manusia.


Matlamat yang sebenar...ialah untuk mengisi masa yang terhad di dunia ini untuk mencari keredhaan Illahi. Syurga dijanjikan untuk orang yang beriman dan neraka buat golongan yang mensia-siakan kehidupannya di dunia ini. Sesungguhnya hidup dan mati kita adalah kerana Allah Taala sepertimana yang kita seringkali lafazkan di dalam doa iftitah tiap kali solat.


Perhubungan yang didasari dengan tujuan untuk mencari keredhaan Illahi adalah bentuk perhubungan yang paling bermakna. Bayangkan kita mempunyai seseorang yang mampu memperingatkan kita terhadap Allah SWT tiap kali kita alpa. Seseorang yang mampu membawa kita untuk mencapai matlamat kehidupan yang sebenarnya. Dan andainya kita ditakdirkan berpisah, kita tidak akan dilanda gelora kesedihan sepertimana bentuk perhubungan yang lain. Andainya perhubungan kita itu benar-benar kerana Allah SWT, kita pasti akan bertemu semula, samada di dunia atau di akhirat kelak. Yang pasti, perpisahan itu hanyalah sementara.


Alangkah indah andainya kita mempunyai seseorang seperti itu. Seorang sahabat, adik mahu pun abang, atau ibu bapa yang akan membawa kita ke arah keredhaan Illahi. Setiap kali kita lalai, kita akan diperingatkan dan dinasihati. Setiap kali kita bertemu dengan dia, terpancar nur iman dan insya-Allah, iman kita akan meningkat. Iman tidak akan sentiasa tinggi dan kita tidak akan sentiasa dekat dengan Illahi. Hanya peringatan dari seorang yang dekat mampu membawa kita ke arah jalan yang sebenar. Dan andainya kita ditakdirkan berpisah, perpisahan itu hanyalah sementara. Bertemu dan berpisah kerana Allah....


Namun di sebalik keinginan untuk memperolehi bentuk perhubungan sedemikian,(yang pasti akan diberkati Allah SWT)......renungkanlah persoalan ini....Berapa ramai yang kita kenali setakat ini dan berapa ramai di antaranya yang kita telah peringatkan akan matlamat mencari keredhaan Illahi? Mampukah kita menjadi seorang sahabat mahu pun adik atau abang, yang seringkali menasihati dan memperingatkan orang di sekelilingnya tentang Allah SWT?


Bertemu dan berpisahlah kerana Allah Subhanahu Wa Taala...

Tiada ulasan: